SEBAB WURUD HADIS 'MAKA SESIAPA YANG TIDAK SUKA AKAN SUNNAHKU MAKA DIA BUKAN DARI KALANGANKU'

SEBAB WURUD HADIS 'MAKA SESIAPA YANG TIDAK SUKA AKAN SUNNAHKU MAKA DIA BUKAN DARI KALANGANKU'

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه أَنَّ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم حَمِدَ اَللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ وَقَالَ لَكِنِّي أَنَا أُصَلِّي وَأَنَامُ وَأَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأَتَزَوَّجُ اَلنِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ


Daripada Anas bin Malik bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mengucapkan Alhamdulillah dan memuji-muji Allah seraya bersabda: “Akan tetapi aku bersembahyang dan aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka, dan aku juga mengahwini perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka akan sunnahku maka dia bukan dari kalanganku.


Sebab kepada hadis ini ialah

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ نَفَرًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلُوا أَزْوَاجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ عَمَلِهِ فِي السِّرِّ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا أَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا آكُلُ اللَّحْمَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا أَنَامُ عَلَى فِرَاشٍ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ فَقَالَ مَا بَالُ أَقْوَامٍ قَالُوا كَذَا وَكَذَا لَكِنِّي أُصَلِّي وَأَنَامُ وَأَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي


Daripada Anas bahawa beberapa orang sahabat telah bertanya kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. tentang amalan baginda yang sembunyi (yakni yang dilakukan di rumah) lalu sebahagian mereka berkata, saya tidak akan berkahwin, ada yang berkata, saya tidak akan memakan daging, dan ada yang berkata saya tidak akan tidur di atas tilam. Lalu Rasulullah s.a.w. mengucapkan Alhamdulillah dan memuji-muji Allah seraya bersabda: “Apa hal dengan kaum itu mengatakan begini dan begini padahal aku bersembahyang dan aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka, dan aku juga mengahwini perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka akan sunnahku maka dia bukan dari kalanganku. (Muslim)

Imam al-Bukhari pula meriwayatkan dengan lafaz lebih lengkap:


أَنَّ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي



Daripada Anas bin Malik katanya, tiga orang telah datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. mereka bertanya tentang ibadat baginda. Apabila mereka diceritakan seolah-olah mereka merasakannya sedikit. Mereka berkata: “Di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan Rasulullah s.a.w. sedangkan baginda telah diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang kemudian. salah seorang mereka berkata: “Saya akan sentiasa bersembahyang malam dan seorang lagi berkata: “Saya berpuasa sepanjang tahun, tidak akan berbuka(tidak ada hari yang tidak berpuasa) dan orang yang terakhir berkata: “Saya akan menjauhi perempuan dan tidak akan berkahwin selama-lamanya. Tiba-tiba Rasulullah datang kepada mereka seraya bertanya: “Kamukah yang mengatakan begini, begini? Demi Allah, sesungguhnya aku lebih takutkan Allah daripada kamu, paling bertaqwa kepada-Nya daripada kamu namun aku berpuasa dan aku berbuka, aku sembahyang dan aku tidur dan aku mengahwini perempuan. Maka dengan itu, sesiapa yang tidak suka akan sunnahku maka dia bukan dari kalanganku. (al-Bukhari)[1]

KEFAHAMAN HADIS

Konsep Ibadat Dan Hubungannya Dengan Perkahwinan

Ibadat yang sebenar ialah menjunjung perintah Allah dengan cara yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. dengan maksud untuk keluar dari tuntutan hawa nafsu menuju kepada ketaatan kepada Allah s.w.t. Al-Shatibi berkata: maksud diletakkan dan digariskan shari’at ialah mengeluarkan mukallaf dari dorongan hawa nafsunya sehingga dia menjadi hamba Allah s.w.t. secara pilihannya sebagaimana dia seorang hamba Allah secara tiada pilihan.[2]

Setiap kali dia menunaikan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. bererti dia telah melaksanakan ibadat. Ibadat khususiyyah itu sendiri, seperti sembahyang dan puasa jika dikerjakan dengan cara yang tidak mengikuti sunnah Rasul ia tidak boleh dianggap ibadat kerana ia dikerjakan mengikut fikiran sendiri.


Fudhail bin ‘Iyad:


"إن العمل إذا كان خالصاً ولم يكن صواباً؛ لم يُقبل، وإذا كان صواباً ولم يكن خالصاً لم يُقبل والخالص إذا كان لله عز وجل والصواب إذا كان على السنة"

“Sesungguhnya amalan itu sekiranya ikhlas tetapi tidak betul tidak akan diterima. Jika betul tetapi tidak ikhlas tidak akan diterima. Ikhlas itu apabila kerana Allah s.w.t dan betul apabila berdasarkan kepada Sunnah.”[3]

Sebagai seorang mukallaf, manusia hendaklah mengutamakan perintah agama daripada kepentingan dirinya. Ini tidak bermakna dia tidak memiliki ruang untuk memenuhi tuntutan shahwat dirinya. Bahkan shari’at Allah telah memberikan jalan dengan cara yang sempurna sehingga walaupun ianya merupakan keperluan individu tetapi jika dilihat dari perspektif yang lebih luas ia juga dikira sebagai ibadat iaitu apabila dia mengaitkan perkara tersebut dengan niat ibadat.


Dalam Islam, kehidupan duniawi khususnya rumahtangga bukanlah penghalang kepada mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Malah beberapa tugas yang lain menjadi sebab untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t. seperti mendidik anak isteri, mencari rezki yang halal, memberikan nafqah, menghubungkan silaturahim dan sebagainya.

Bersikap melampau dalam mendekatkan diri kepada Allah bukanlah daripada ajaran Islam bahkan itu adalah bid’ah yang direka-reka oleh golongan yang menyeleweng. Islam bukanlah agama kepaderian dan kerahiban tetapi ia merupakan satu sistem hidup yang bertujuan untuk mengislahkan kehidupan manusia dalam konteks hubungannya dengan Allah dalam bentuk ibadat dan sesama makhluk dalam bentuk mu’amalat dan mu’asharat. Cara hidup Islam ialah untuk mengimarahkan dunia demi mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Sejauh Mana Kita Dituntut Untuk Mengikuti Sunnah Rasul?

Sahabat Rasulullah s.a.w. sangat bersungguh dalam usaha mereka untuk mengikuti jejak langkah baginda terutamanya dalam bab ibadat. Ini dapat dilihat apabila mereka bertanya kepada isteri-isteri baginda tentang kadar dan bentuk ibadat yang dilakukan oleh baginda di rumah sehari semalam supaya mereka juga dapat mengamalkannya. Apabila diberitahu kesederhanaan ibadat baginda lalu mereka membandingkan keadaan baginda yang sentiasa mendapat keampunan dari Allah s.w.t. lantas mereka menyimpulkan orang yang tidak mencapai tahap yang diperolehi oleh baginda perlu berusaha dengan lebih gigih dalam beribadat sehingga mengenepikan keni’matan duniawi. Tetapi baginda menyatakan keadaan sebenar tidak begitu.


Apa yang dimaksudkan oleh baginda dengan katanya itu ialah walaupun baginda sudah diampunkan namun takut kepada Allah mendorong baginda kepada berijtihad dan sentiasa beribadat. Tetapi jalan ibadat hendaklah berdasarkan kepada apa yang dipraktikkan oleh baginda. Sesiapa yang tidak menyukai jalan ini maka ia bukan mengikuti sunnah Rasul yang merupakan syarat kepada keredaan Allah.[4]

Dalam hadis ini, satu petunjuk besar bahawa mengikuti Sunnah Rasul hendaklah selaras dengan kehendak dan hidayah daripada baginda. Tidak boleh sekali-kali bersikap melampaui. Apa yang ditekankan oleh baginda ialah setiap sesuatu itu mempunyai haknya yang wajib disempurnakan.

Hadis lain yang membawa ma’na yang sama:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَبْدَ اللَّهِ أَلَمْ أُخْبَرْ أَنَّكَ تَصُومُ النَّهَارَ وَتَقُومُ اللَّيْلَ قُلْتُ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ فَلَا تَفْعَلْ صُمْ وَأَفْطِرْ وَقُمْ وَنَمْ فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا


Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Abdullah, benarkah aku diberitahu bahawa kamu berpuasa pada siang hari dan mendirikan sembahyang pada malamnya.” Saya menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Kalau begitu, jangan kamu lakukan demikian, tetapi puasalah dan berbukalah, sembahyanglah dan tidurlah, kerana sesungguhnya, kamu mempunyai kewajipan terhadap tubuh kamu, kamu mempunyai kewajipan terhadap terhadap kedua-dua mata kamu dan kamu mempunyai kewajipan terhadap isteri kamu.” (al-Bukhari, no: 5199, Muslim, no: 1159)

Pengajaran Hadis

1. Larangan dari melampau dalam mengamalkan ajaran Rasul.
2. Maksud sebenar ibadat ialah ketaqwaan kepada Allah s.w.t. bukan semata-mata banyak ibadat badaniyyah.
3. Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah realistik dengan Sunnatullah dan tiada percanggahan. Sunnatullah menuntut manusia hidup dalam lingkungannya. Mengambil bahagian sebagai seorang pekerja, suami dan bapa.
4. Galakan supaya beribadat tetapi bukan sampai ke tahap membahayakan diri sendiri dan tanggungjawab terhadap orang lain.
5. Shari’at dibina di atas prinsip fitrah, kemudahan dan kesederhanaan.
6. Dalam hadis ini ada juga petunjuk bahawa keutamaan ilmu mengatasi ibadat. Ilmu mengenal Allah dan kewajipan terhadapnya lebih besar dan patut diberikan keutamaan. Ini berdasarkan kepada ayat surah Fatir, 28: إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
____________________________________
[1] al-Bukhari, no: 5063, Muslim, no: 1401, al-Nasa`i, no: 3219.

[2] Al-Shatibi, al-Muwafaqat Fi Usul al-Shari’ah, juz. 2, hal. 469.

[3] Abu Nu’aim, Hilyah al-Awliya`, jil. 8, hal. 95.

[4] Al-Qurtubi, Al-Mufhim Li Ma Ashkala Min Talkhis Muslim, jil. 4, hal. 86.

Ulasan