USUL DARIPADA HADIS BADWI KENCING DALAM MASJID



USUL DARIPADA HADIS BADWI KENCING DALAM MASJID

Muhammad Hanief Awang Yahaya

Hadis ini walaupun secara asasnya berkaitan dengan bab bersuci dan membersihkan najis namun begitu ia memberikan pengajaran yang besar untuk ummat ini dalam skop kehidupan yang lebih luas.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه قَالَ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَبَالَ فِي طَائِفَةِ اَلْمَسْجِدِ, فَزَجَرَهُ اَلنَّاسُ فَنَهَاهُمْ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَلَمَّا قَضَى بَوْلَهُ أَمَرَ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِذَنُوبٍ مِنْ مَاءٍ; فَأُهْرِيقَ عَلَيْهِ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

Daripada Anas bin Malik, katanya: seorang Arab badwi telah datang lalu dia kencing di satu penjuru masjid. Orang ramai menyergahnya lalu Rasulullah s.a.w melarang mereka berbuat demikian. Apabila dia selesai kencing, baginda menyuruh supaya dituangkan satu timba air di atas tempat itu. (Muttafaq ‘alayh)

Dalam lafaz yang diriwayatkan oleh Muslim ada tambahan
دَعُوهُ وَلَا تُزْرِمُوهُ قَالَ فَلَمَّا فَرَغَ دَعَا بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَصَبَّهُ عَلَيْهِ
Janganlah menyekat kencingnya.

Dalam riwayat lain pula ada dinyatakan

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ
Rasulullah s.a.w. memanggilnya seraya bersabda: Sesungguhnya masjid-masjid tidak boleh sama sekali kencing dalamnya dan tidak boleh juga ada kekotoran padanya. Sebenarnya ia adalah untuk mengingati Allah s.w.t., bersembahyang dan membaca al-Qur`an. (Muslim)


Segera dalam membersihkan kotoran najis
Hadis ini menyatakan bahawa najis hendaklah segera dibersihkan apabila tiada sebarang halangan. Ini kerana sebaik sahaja orang badwi itu selesai hajatnya, baginda terus memerintahkan supaya dicurahkan air di tempat yang telah terkena kencingnya.
Cara untuk membersihkan tanah yang bernajis mestilah dengan menggunakan air dan tidak disyarat supaya dipindahkan tanah tersebut ke tempat lain sebelum atau selepas membasuhnya dengan air dengan syarat tiada objek atau unsur najis.

Menjaga kehormatan Masjid
Situasi yang dapat difahami dari lelaki badwi ini, dia tidak sempat untuk ke tempat lain dan kerana kejahilan tentang hukum masjid atau pada perkiraannya, tidak ada apa-apa kesalahan jika buang air di situ kerana pada masa itu masjid yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amatlah ringkas, dibuat dari teduhan dan batang-batang tamar yang ditegakkan. Tetapi kepada sahabat yang telah terdidik dengan ajaran Rasul, mereka memahami bahawa masjid merupakan rumah Allah s.w.t. tidak kira daripada apa ianya dibina. Adab-adab masjid hendaklah dijaga dan dijauhi segala sesuatu yang bernajis dan benda-benda yang tidak menyenangkan. Oleh sebab itu, disunnatkan menyediakan tandas yang khusus berhampiran dengan masjid untuk memberikan kemudahan kepada orang yang terdesak untuk menunaikan hajat.

Kefahaman sahabat dan amar ma’ruf wa nahi munkar
Menjaga dari terkena najis merupakan sifat yang kemas tertanam dalam diri sahabat. Oleh sebab itulah mereka segera mencegah perbuatan orang badwi tersebut. Ini merupakan dorongan semangat menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu juga maka hendaklah dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. (Muslim)


Menolak kerosakan yang lebih besar dengan merempuh yang paling ringan
Rasulullah s.a.w. melarang sahabat dari menyergah kerana dibimbangi dia lari dan ini menyebabkan dia kencing di merata tempat. Kesalahan sememangnya telah dilakukannya.
Hafiz Ibn Hajar berkata:
Sebab para sahabat membiarkan badwi tersebut meneruskan kencingnya kerana dia telah mula dalam melakukan mafsadah (kerosakan). Sekiranya, dia dihalang pasti mafsadah itu makin bertambah kerana satu bahagian sudahpun dikotori. Sekiranya dihalang maka berlaku dua perkara sama ada kencingnya terhenti dan ini akan memudaratkannya atau kencingnya tidak terhenti maka akan mengotorkan tubuhnya, pakaiannya atau bahagian masjid yang lain.
Berasaskan kepada perkara inilah ulama menyimpulkan satu kaedah yang penting iaitu diharuskan melakukan salah satu mudarat yang lebih ringan bagi menolak kemudaratan yang lebih besar.

Bersikap lembut kepada orang yang jahil
Rasulullah s.a.w. mengajar orang badwi tersebut dengan lemah lembut kerana perbuatannya bukannya sengaja tetapi disebabkan kejahilannya tentang hukum syara’. Oleh sebab itu, layanan Rasulullah s.a.w. terhadapnya tidak sama dengan orang yang sengaja dan berdegil. Dalam riwayat yang lain baginda memberi peringatan:
إِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ
Sesungguhnya kamu diutuskan sebagai memudahkan dan bukanlah kamu diutuskan sebagai menyusahkan. (Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Ini merupakan prinsip da’wah yang paling utama kerana sesiapa sahaja yang terlibat dalam usaha islah dan da’wah kepada masyarakat hendaklah dia mengutamakan pendekatan yang lemah lembut, penuh hikmah dan hendaklah menjauhi sikap keras dan menyusahkan.
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik. (surah al-Nahl: 125)
Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِنَّ الرِّفْقَ لَا يَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ وَلَا يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ
Sesungguhnya tidak lemah lembut itu pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya dan tidak dicabut dari sesuatu melainkan menjadikannya jelek. (Muslim)

Hidup berjauhan dari kota sebagai faktor kejahilan
Hadis ini menunjukkan bahawa orang badwi yang berada berjauhan dari kota kurang terdedah kepada ilmu sementara tingkah lakunya pula tidak menggambarkan adab dan disiplin. Oleh sebab itu, ilmu sepatutnya disebarluaskan hingga ke luar bandar supaya masyarakat di sana terdedah kepada cara hidup yang beradab dan berdisiplin.
Sehubungan dengan itu, seseorang itu boleh dimaafkan sekiranya perbuatannya itu disebabkan oleh kejahilan dan tidak seharusnya dia dicemuh malah teguran hendaklah diberikan dengan cara yang lemah lembut.

Ulasan