HADIS: DALAM KONTEKS PEMAHAMAN DAN PENGAMALAN (1)

HADIS: DALAM KONTEKS PEMAHAMAN DAN PENGAMALAN
Zuhair bin Ahmanah Abdul Salam.

MUQADDIMAH

Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kitab-Nya sebagai hidayat dan nur kepada manusia untuk menjaga mereka daripada kesesatan dan penyelewengan yang membinasakan dan menjadikannya mu’jizat kepada Rasulullah s.a.w. iaitu mu’jizat yang kekal sehingga hari Qiamat kemudiannya Allah s.w.t. mengurniakan kepada baginda al-Sunnah sebagai penerang dan penjelas al-Quran sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Quran:
وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Serta Kami pula turunkan kepadamu al-Qur`an yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.. (al-Nahl: 44)


وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اخْتَلَفُوا فِيهِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (al-Nahl: 64)

Sejak dahulu lagi umat Islam telah memberi perhatian kepada hadis Rasulullah s.a.w. dan mereka telah mencurahkan usaha yang paling besar untuknya, dengan itu ia memperolehi perlindungan dan penjagaan yang tidak pernah diperolehi oleh ucapan mana-mana Nabi dan manusia biasa. Hadis itu, di samping merupakan sumber kedua bagi perundangan, ia juga merupakah beberapa peringkat pelaksanaan amali bagi al-Quran dalam realiti semasa dan setempat bagi Rasulullah s.a.w. Begitu juga hadis merupakan peringkat pernyataan secara amali bagi sistem Allah s.w.t. di muka bumi dalam bentuk yang paling luhur dan agong bagi sistem-Nya.

Ini kerana, al-Quran memimpin gerakan pelaksanaan dan pernyataan alam realiti untuk menjadikannya pernyataan yang paling sempurna tentang manhaj Allah s.w.t. supaya manusia sentiasa dan selama-lamanya merujuk kepadanya.

Berdasarkan kepada hakikat ini, sunnah diakui sebagai manhaj dan panduan yang sejahtera untuk memahami al-Quran. Bahkan dari sudut yang lebih luas ia merupakan gambaran dan pernyataan yang ideal bagi al-Quran. Di sini timbul satu persoalan yang amat penting, bagaimana mungkin dapat kita mengambil faedah daripada pengalaman Nabi s.a.w. yang bersifat rabbani lagi ideal? Sama ada pada peringkat pemahaman dan fiqh atau pada peringkat pengamalan dan pelaksanaan.

Inilah yang kami cuba jawab dalam siri perbincangan ini sebagai pembukaan ia akan menyentuh tajuk Fiqh al-Hadis: Skop Dan Pengkaedahan. Kemudian dalam siri perbincangan berikut tentang Pengamalan Hadis, Skop Dan Pengkaedahan.

Pada hakikatnya, pemahaman hadis diakui sebagai matlamat asas sejak dahulu lagi. Para ulama telah mencurahkan sehabis daya usaha. Mereka mempunyai aliran masing-masing dalam menggariskan kaedah-kaedah, kriteria-kriteria dan prinsip-prinsip bagi membolehkan pemahaman hadis telah berkembang menjadi bercabang-cabang. Kemudian usaha-usaha ini menjadi masyhur terutamanya usaha Imam al-Bukhari melalui Tarjamatul Bab (tajuk-tajuk bab) dalam Sahih al-Bukhari dan itulah yang telah membentuk manhaj yang lengkap dalam berinteraksi dengan sunnah kemudian diikuti oleh kitab syarah hadis keseluruhannya.

Penulis mendapat tahu bahawa Ibn Hazm menulis kitab yang membincangkan Fiqh al-Hadis melalui tulisan Ibn al-Qayyim yang menyebutkan tentang beliau. Kata Ibn al-Qayyim: “Ibn Hazm adalah seorang yang menguasai pelbagai cabang ilmu, mempunyai sifat wara’, beragama, zuhud dan sentiasa benar. Bapanya adalah seorang menteri yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan beliau mempunyai karangan-karangan yang agong terutamanya kitab-kitab hadis dan fiqh, beliau telah mengarang satu kitab yang tentang fiqh al-Hadis yang dinamakannya sebagai:
الإيصال إلى فهم كتاب الخصال الجامعة الجمل شرائع الإسلام والحلال والحرام
(Menyampaikan kepada Pemahaman Kitab Perkara-perkara Syariat Islam, Halal dan Haram)
Demikianlah semua ulama berusaha untuk memahami hadis maka dengan sebab itu, terdapat pelbagai aliran, manhaj dan alat-alat metodologi untuk tujuan tersebut.

Dengan kajian ini penulis mensasarkan untuk merealisasikan matlamat-matlamat berikut:
1. Menentukan konsep Fiqh al-Hadis.
2. Menjelaskan kepentingan Fiqh al-Hadis
3. Menjelaskan peringkat (perkembangan) dan alat-alat metodologi dalam Fiqh al-Hadis.

Untuk itu, kita mesti menjawab beberapa persoalan berikut: Apa yang dimaksudkan Fiqh al-Hadis, peringkat-peringkatnya dan peralatannya?

Penulis mengharapkan agar Allah s.w.t. menerima usaha ini dan menjadikannya pada neraca kebaikan penulis pada hari harta dan anak pinak tidak dapat memberi manfaat. Sekiranya penulis betul maka itu daripada Allah sahaja, jika penulis tersilap itu daripada diriku dan syaitan. Dan saya memohon keampunan daripada Allah akan kesilapan yang tidak disengajakan.

Pemahaman Hadis: Konsep Dan Kepentingan
Pertama: konsep Fiqh al-Hadis
Fiqh al-Hadis adalahمركب إضافي gabungan dua kata nama iaitu al-Fiqh dan al-Hadis. Oleh kerana istilah hadis telah banyak dibincangkan dalam semua kitab ‘Ulum al-Hadis, maka penulis tidak akan menjelaskannya kerana memadai dengan huraian istilah fiqh sahaja. Setelah itu penulis akan merumuskan definisi fiqh al-hadis.

1- Konsep Fiqh Dan Kandungannya
1- Fiqh pada bahasa sebagaimana yang disebutkan dalam Lisan al-‘Arab ialah mengetahui sesuatu dan memahaminya. Ibn al-Qayyim berkata: al-Fiqh itu lebih umum khusus daripada al-Fahm kerana fiqh ialah memahami maksud kata-kata orang yang bercakap. Al-Raghib al-Isfahani pula mentakrifkan dengan mengatakan, al-Fiqh ialah sampai kepada ilmu ghaib dengan ilmu syahid, dan fiqh itu lebih khusus daripada ilmu.

2- Fiqh dalam istilah pula: Di zaman awal Islam, fiqh dimaksudkan kepada seluruh hukum agama dan itu sebelum ilmu-ilmu terpisah antara satu sama lain. Apabila munculnya fenomena pengkhususan, fiqh menjadi satu istilah ilmiah yang dinamakan kepada hukum syarak amali yang berkaitan dengan ibadat, muamalat sahaja tidak termasuk aqidah dan kerohanian. Fiqh kemudian diungkapkan bagi menunjukkan kepada pengetahuan hukum syara’ yang praktikal yang diperolehi daripada dalil-dalilnya yang terperinci.

Kedua : Fiqh Al-Hadis Dari Sudut Istilah
Daripada penjelasan dan analisis tadi, jelaslah bahawa fiqh al-Hadis ialah pemahaman yang mendalam terhadap Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dengan melihat kepada tabiat tindak tanduk Rasulullah s.a.w. dan keadaan orang yang menerimanya dari segi konteks masa dan lingkungan tempat.

Huraian Ta’rif:
Maksud pemahaman yang mendalam ialah mengawal daripada terburu-buru ketika melihat nas hadis Rasulullah s.a.w.dengan sebab mengabaikan syarat-syarat renungan yang diakui oleh ulama terutamanya ulama Usul al-Fiqh dan Maqasid al-Syari’ah.

Maksud dengan melihat kepada sifat tindak tanduk Rasulullah s.a.w. ialah dalam tindak tanduknya, Rasulullah s.a.w. tidak hanya dalam tabiat dan sifat yang sama, bahkan beliau bertindak sebagai mubaligh, penyampai risalah Islam atau tidak. Ini bererti baginda mempunyai beberapa kedudukan yang berbeza, sama ada bertindak berdasarkan sifat manusia biasa atau sebagai ketua negara atau mufti atau qadhi. Ringkasnya dapat disimpulkan sebagaimana berikut:-
1- Bertindak sebagai mubaligh (penyampai risalah).
2- Bertindak bukan dengan sifat mubaligh, di sini ada beberapa keadaan.
a. Bertindak sebagai Imam, ketua negara.
b. Bertindak dengan sifat manusia biasa, (jibillah/secara semula jadi).
c. Bertindak sebagai mufti.
d. Bertindak sebagai qadhi.

Maksud ungkapan keadaan orang yang menerimanya menurut konteks masa dan lingkungan tempat ialah mengaitkan kefahaman dengan melihat kepada keadaan orang yang menerima dalam konteks masa dan tempat iaitu dari segi:
1. Melihat kepada kedudukan orang yang menerima (hadis) dalam Islam. Adakah dia seorang baru memeluk Islam atau dari kalangan mereka yang telah lama memeluk Islam, sehingga Allah s.w.t. membezakan antara mereka yang memeluk Islam sebelum pembukaan kota Mekah dan selepasnya, Allah s.w.t. berfirman:
لَا يَسْتَوِي مِنْكُمْ مَنْ أَنْفَقَ مِنْ قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ أُولَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ أَنْفَقُوا مِنْ بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa yang kamu kerjakan. (al-Hadid: 10)

Allah s.w.t. berfirman :
لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa Yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya. (al-Fath: 18)


Rasulullah s.a.w. bersabda tentang kelebihan generasi pertama sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Umar bin Maimun katanya:
قَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعُمَرَ حِينَ قَالَ ائْذَنْ لِي فَلْأَضْرِبْ عُنُقَهُ قَالَ أَوَكُنْتَ فَاعِلًا وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ اللَّهَ قَدْ اطَّلَعَ إِلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ
Rasulullah s.a.w. bersabda kepada ‘Umar ketika beliau berkata izinkan saya memanggal kepalanya. Baginda menjawab: “Adakah kamu berbuat demikian? Tahukah kamu, boleh jadi, Allah telah memaafkan ahli Badar.” Baginda bersabda lagi: “Buatlah apa yang kamu mahu.”

2. Mengambil kira situasi masa dan tempat yang terbit padanya kata-kata atau perbuatan Rasulullah s.a.w. kerana tidak dapat dibayangkan terbitnya sesuatu daripada Rasulullah s.a.w. tanpa muqaddimah dan sebab yang terdahulu selain dari yang sememangnya disyariatkan daripada awal lagi. Walaupun pandangan ini boleh dipertikaikan kerana bertentangan hadis Rasulullah s.a.w. sendiri yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَعْظَمَ الْمُسْلِمِينَ فِي الْمُسْلِمِينَ جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرَّمْ عَلَى الْمُسْلِمِينَ فَحُرِّمَ عَلَيْهِمْ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ
Daripada al-Zuhri daripada ‘Amir bin Sa’ad daripada bapanya katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kesalahan terbesar yang dilakukan oleh seorang Islam kepada orang-orang Islam ialah orang yang bertanya tentang suatu perkara yang tidak diharamkan kepda mereka, lalu ia diharamkan kerana pertanyaannya.”
Tetapi apa yang menjadi perhatian ialah orang yang bertanya itu hampir menjadi sebab kepada difardukan sesuatu perkara.

Ulasan