MAKAN LEBIH UTAMA DARIPADA SEMBAHYANG BERJEMAAH?

MAKAN LEBIH UTAMA DARIPADA SEMBAHYANG BERJEMAAH?


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا وُضِعَ الْعَشَاءُ وَأُقِيمَتْ الصَّلَاةُ فَابْدَءُوا بِالْعَشَاءِ


Daripada Anas bin Malik daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: Apabila dihidangkan makan malam dan sembahyang diiqamatkan maka dahulukan makan malam. (al-Bukhari, Muslim)

Sepintas lalu hadis ini seolah-olah melebihkan makan daripada sembahyang berjemaah.


Penyelesaian

Allah s.w.t. menjelaskan tujuan didirikan sembahyang iaitu supaya hamba-Nya mengingatinya. Firman-Nya dalam surah Taha, ayat 14:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي


Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku.


Setiap orang diperintahkan mengerjakan sembahyang dalam keadaan ingat kepada Allah s.w.t. dengan tidak bercampur ingatan kepada perkara lain. Tugas utama hati terutama ketika bersembahyang ialah mengingati Allah s.w.t. supaya lahir khusyu’ dan kepatuhan. Oleh itu sesuatu yang menganggu kekhusyukan dalam sembahyang hendaklah dihilangkan.

Dalam hal ini, ‘Allamah Anwar Shah al-Kashmiri menukilkan pendapat Imam Abu Hanifah:


لأن يكون طعامي كله صلاة أحب إلي من أن تكون صلاتي كلها طعاماً ،


Makanku itu semuanya menjadi sembahyang lebih saya sukai daripada sembahyang ku kesemuanya menjadi makan.

Setelah itu beliau menegaskan bahawa,


وحضور الطعام من أعذار ترك الجماعة والتفصيل في الفقه وفي مشكل الآثار قيد صلاة المغرب والصائم في متن الحديث فضيق الأمر .

Tibanya makanan termasuk dalam keuzuran yang membolehkan sembahyang berjemaah ditinggalkan. Perinciannya terdapat dalam ilmu fiqh. Apa yang disebutkan dalam Sharh Musykil al-Athar (jil. 5, hal. 240-247) bahawa ini diqaidkan atau dibataskan kepada sembahyang Maghrib dan kepada orang yang berpuasa maka ini menyempitkan perkara (ya’ni apa yang diperluaskan oleh ma’na hadis). (al-‘Arf al-Syaziy, jil. 1, hal. 405)

Jenis makanan yang dimaksudkan oleh hadis:

Adakah semua makanan menjadi alasan kelonggaran untuk tidak sembahyang dengan berjemaah?


Imam al-Tahawi menulis:

Ini di sisi kami, dan Allah s.w.t. lebih mengetahui, makanan yang dimaksudkan ialah makanan yang menarik selera dan keinginannya, jika sekiranya dia bersembahyang dalam keadaan sedemikian hatinya menjadi lalai sehingga dia tidak dapat memberi tumpuan kepada sembahyangnya dan mengerjakannya dengan sempurna. Oleh itu, apa yang lebih utama kepadanya ialah menghilangkan perasaan ingin makan itu sebelum memulakan sembahyang. Kami tidak berpendapat hadis ini berkait dengan semua jenis makanan. (Sharh Musykil al-Athar, jil. 5, hal. 240-247)

Pengajaran hadis:

1. Hadis ini mengajarkan kita supaya memberi tumpuan dalam kerja yang dilakukan. Sekiranya ada gangguan, atau ada perkara yang boleh menjejaskan tumpuan maka ia perlu diselesaikan terlebih dahulu.

2. Hadis ini juga menunjukkan Islam mengambil kira ruang atau keperluan individu.

3. Seseorang itu tidak sepatutnya sengaja makan dan melakukan sesuatu kerja pada waktu sembahyang hampir diiqamatkan tetapi hendaklah dia bersedia lebih awal supaya keperluannya dapat disempurnakan dan sembahyang berjemaah dapat didirikan.


4. Ini merupakan rukhsah kepada orang-orang Islam kerana Shari’at dibina di atas prinsip kemudahan dan mengambil kira keadaan mukallaf.

5. Difahami daripada ini bahawa segala bentuk gangguan terhadap khusu’ hendaklah diselesaikan dan dijauhkan.

6. Walau bagaimanapun, jika waktu sembahyang hampir terkeluar maka hendaklah diutamakan sembahyang dahulu kerana mudarat terluput waktu lebih besar daripada tidak khusu’.

7. Hadis ini menunjukkan kepada kaedah utamakan sesuatu yang lebih utama dengan keadaan dan waktunya.

8. Ma’na hadis ini juga ditegaskan oleh sebuah hadis yang lain:


عَنْ عَائِشَةَ -رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهَا- قَالَتْ : سَمِعْتُ رَسُولَ اَللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يَقُولُ : - لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ طَعَامٍ , وَلَا هُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ



Daripada ‘A`ishah katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada sembahyang ketika makanan dihidangkan dan tidak juga seseorang itu menahan kencing dan berak. (Muslim)


Disediakan oleh Muhammad Hanief bin Awang Yahaya www.darulkautsar.net

Ulasan