TERSEBARNYA SESUATU BENTUK IBADAT TIDAK MENUNJUKKAN KEHARUSANNYA MELAINKAN ADANYA DALIL YANG SAHIH

Tersebarnya sesuatu bentuk ibadat dan ramainya orang yang melakukannya tidak menunjukkan bahawa ianya disyariatkan kerana ibadat yang betul mestilah berasaskan kepada al-Qur`an dan Sunnah bukan ditentukan oleh ramainya bilangan yang melakukannya.

Ini bererti, sesuatu amalan, perbuatan dan ucapan yang menjadi ibadat yang tersebar di kalangan ahli masyarakat atau kelompok tertentu tidak menunjukkan ianya harus di sisi syara’ melainkan terdapat dalil yang diakui. Keharusan sesuatu amalan tidak dapat tidak mestilah ditentukan oleh syara’. Dengan kata lain, bilangan pelaku bukan penentu bahawa sesuatu amalan itu dikira sah di sisi syara’. Adat yang tersebar dan diamalkan hanya diakui benar oleh syara’ apabila tidak bercanggah dengan ajaran rasul.

Tersebarnya dan umumnya sesuatu amalan sering kali menjadi dalil kepada pengamal-pengamal bid’ah untuk menegakkan amalan dan fahaman mereka. Sesungguhnya inilah dalil yang sama yang telah digunakan oleh umat terdahulu untuk menolak ajaran rasul-rasul. Apabila ajaran tawhid dikemukakan kepada mereka, mereka mengatakan itu tidak diketahui dan tidak ada dalam pengamalan datuk nenek mereka.

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (al-An’am: 116)

وَعْدَ اللَّهِ لَا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ (6) يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ الْآَخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ (7)
Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janji-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat. (al-Rum: 6-7)

بَلْ قَالُوا إِنَّا وَجَدْنَا آَبَاءَنَا عَلَى أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَى آَثَارِهِمْ مُهْتَدُونَ (22) وَكَذَلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِنْ نَذِيرٍ إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا آَبَاءَنَا عَلَى أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَى آَثَارِهِمْ مُقْتَدُونَ (23) قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكُمْ بِأَهْدَى مِمَّا وَجَدْتُمْ عَلَيْهِ آَبَاءَكُمْ قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُمْ بِهِ كَافِرُونَ (24) فَانْتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ (25)
(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) Bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja". Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja". Rasul itu berkata: "Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu ugama yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan ugama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?" mereka menjawab: "Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya". Lalu Kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasul-Nya. (al-Zukhruf: 22-25)

Dalam ayat di atas, Allah s.w.t. menempelak orang-orang musyrik yang meletakkan pegangan mereka hanya kepada amalan datuk nenek mereka. Mereka lebih selesa dan merasa aman dengan tradisi berbanding dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Mengagungkan dan membesarkan nenak moyang menghalang mereka daripada mengenali dan menerima kebenaran untuk berjalan di atas jalan yang lurus. Sesungguhnya kefahaman dan amalan tidak boleh dibina di atas tanggapan dan amalan turun temurun. Asas kepada kepercayaan dan penghayatan yang mesti difahami oleh umat Islam ialah ilmu yang diyaqini yang diperolehi melalui wahyu, al-Qur`an dan al-Sunnah. Amalan yang dilakukan yang kononnya ibadat tanpa mempunyai dalil mestilah ditinggalkan biarpun ramai yang mengamalkan atau biarpun sudah sekian lama diwarisi. Keharusan sesuatu amalan bukan kerana bilangan ramai tetapi kekuatan dalil. Ini merupakan kaedah asas kesahihan amalan yang merupakan dasar epistemologi fiqh Islam.

Ibn al-Haj menulis:

لِأَنَّ الشَّرِيعَةَ مُتَلَقَّاةٌ مِنْ صَاحِبِ الشَّرْعِ صَلَوَاتُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَسَلَامُهُ وَقَدْ بَيَّنَ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ مَا تَفْعَلُهُ أُمَّتُهُ فِي كُلِّ زَمَانٍ وَأَوَانٍ وَأَيْضًا فَيَسَعُنَا فِيهَا مَا وَسِعَ السَّلَفَ إنْ كُنَّا صَالِحِينَ ؛ لِأَنَّ تَعْظِيمَ الشَّعَائِرِ وَاحْتِرَامَهَا عَنْهُمْ يُؤْخَذُ وَمِنْهُمْ يُتَلَقَّى لَا بِمَا سَوَّلَتْ لَنَا أَنْفُسُنَا وَمَضَتْ عَلَيْهَا عَادَتُنَا ؛ لِأَنَّ الْحَكَمَ الشَّرْعُ الشَّرِيفُ فَهُوَ الَّذِي يُتَّبَعُ لَا الْعَوَائِدُ أَعَاذَنَا اللَّهُ مِنْ بَلَائِهِ بِمَنِّهِ .
“Kerana sesungguhnya syariat diterima daripada Rasulullah s.a.w. dan baginda telah menjelaskan apa yang perlu dilakukan oleh umatnya di setiap zaman dan juga apa yang harus kepada kita ialah apa yang harus kepada golongan salaf (sahabat dan tabi’in) sekiranya kita benar-benar soleh. Ini kerana membesarkan syiar-syiar dan memuliakannya diambil dari mereka bukan dengan apa yang dirasakan baik oleh diri kita dan adat yang diamalkan kerana pemutus hukum ialah syariat yang mulia. Maka dialah yang diikuti bukan adat kebiasaan. Semoga Allah s.w.t. memelihara kita dengan limpahan-Nya daripada bala bencana. (al-Madkhal, jil. 4, hal. 250)

Al-Tartusyi menyebutkan dalam kitabnya, al-Hawadith Wa al-Bida’:
فصل : شيوعة الفعل لا تدل على جوازه : في الكلام على فريق من العامة وأهل التقليد قالوا : إن هذا الأمر شائع ذائـع في أقاليم أهل الإسلام وأقطار أهل الأرض ، فالجواب : أن نقول : شيوعـة الفعل وانتشاره لا يدل على جوازه ، كما أن كتمه لا يدل على منعه
“Fasal: Tersebarnya perbuatan tidak menunjukkan kepada keharusannya. Berhubung dengan kata-kata sekumpulan masyarat awam dan golongan taqlid yang mengatakan, perkara ini umum tersebar di kawasan orang-orang Islam dan di pelosok dunia. Jawapannya ialah kita mengatakan umum dan tersebarnya sesuatu perbuatan tidak menunjukkan kepada keharusannya sebagaimana tersembunyinya amalan itu tidak menunjukkan kepada larangan terhadapnya.

Ibn Muflih menulis dalam kitabnya al-Adaab al-Shar’iyyah:
يَنْبَغِي أَنْ يُعْرَفَ أَنَّ كَثِيرًا مِنْ الْأُمُورِ يَفْعَلُ فِيهَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ خِلَافَ الْأَمْرِ الشَّرْعِيِّ ، وَيَشْتَهِرُ ذَلِكَ بَيْنَهُمْ وَيَقْتَدِي كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ بِهِمْ فِي فِعْلِهِمْ . وَاَلَّذِي يَتَعَيَّنُ عَلَى الْعَارِفِ مُخَالَفَتُهُمْ فِي ذَلِكَ قَوْلًا وَفِعْلًا ، وَلَا يُثَبِّطُهُ عَنْ ذَلِكَ وَحْدَتُهُ وَقِلَّةُ الرَّفِيقِ ، وَقَدْ قَالَ الشَّيْخُ مُحْيِي الدِّينِ النَّوَوِيُّ : وَلَا يَغْتَرُّ الْإِنْسَانُ بِكَثْرَةِ الْفَاعِلِينَ لِهَذَا الَّذِي نَهَيْنَا عَنْهُ مِمَّنْ لَا يُرَاعِي هَذِهِ الْآدَابَ ، وَامْتَثِلْ مَا قَالَهُ السَّيِّدُ الْجَلِيلُ الْفُضَيْلُ بْنُ عِيَاضٍ : لَا تَسْتَوْحِشْ طُرُقَ الْهُدَى لِقِلَّةِ أَهْلِهَا ، وَلَا تَغْتَرَّ بِكَثْرَةِ الْهَالِكِينَ .
Sepatutnya diketahui bahawa kebanyakan perkara yang dilakukan oleh masyarakat umum menyalahi hukum syara’ walaupun ia sudah masyhur dan diikuti serta dilakukan oleh kebanyakan orang. Apa yang mesti kepada orang yang mengetahui (hukum syara’) ialah hendaklah ia menyalahinya dengan ucapan dan perbuatan. Janganlah ia terhalang kerana dia berseorangan atau sedikitnya teman. Shaykh Muhyuddin al-Nawawi pernah berkata: “Janganlah seseorang itu terpedaya dengan sebab ramainya orang yang mengerjakan perbuatan yang kita tegah yang tidak menjaga adab-adab ini. Hendaklah dia melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Sayyid al-Fudhayl bin ‘Iyadh: Janganlah kamu merasa sunyi terasing di jalan-jalan hidayat kepada sedikitnya orang yang melaluinya dan janganlah terpedaya dengan ramainya orang-orang yang binasa. (al-Adaab al-Shar’iyyah, jil. 1, hal. 280)

Ulasan