Insan Akli Dan Insan Shahwani




Akal sentiasa melihat dan memilih apa yang paling utama dan paling baik pada kesudahannya walaupun jiwa terpaksa menanggung kesusahan dan penderitaan di peringkat awal. Sebaliknya hawa nafsu sentiasa mementingkan keseronokan yang sifatnya sementara walaupun di akhirnya membawa kepada penderitaan. Ini kerana ia tidaklah memikirkan akibat. Hawa nafsu tidak mempunyai sifat tadbir yang hanya dimiliki oleh akal. Perkataan tadbir berasal daripada dabr yang menunjukkan makna hujung, akhir dan belakangkan. Mentadbir bermakna membuat sesuatu pada masa ini dengan mengambil kira apa yang akan terjadi dan terhasil di kemudian hari.
Hawa nafsu tidak ubah seperti kanak-kanak yang hanya tahu mengunyah gula-gula walaupun sedang sakit gigi, suka bermain di panas terik tanpa memikirkan panas yang mengakibat demam.
Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Syurga dilitupi dengan perkara-perkara yang tidak disukai manakala neraka dihiasi dengan shahwat. (Hadis riwayat Muslim).
Akal melihat kepada faedah dan bahaya sedangkan nafsu melihat kepada faedah dirinya sahaja. Ada diriwayatkan: "Cinta engkau kepada sesuatu menyebabkan engkau buta dan pekak." (Abu Dawud)
Oleh kerana itu, orang yang berakal senantiasa mengutamakan pandangan akalnya daripada dorongan nafsu walaupun pada mulanya ia merasai kepahitan dan kesukaran.


"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. (surah al-Baqarah: 216)

Akal memperolehi kekuatan apabila ia menyerahkan urusan kepada Allah dengan melakukan istikharah di samping meminta nasihat dan pendapat daripada cerdik pandai. Apatah lagi jika hatinya dilapangkan pula dengan ibadah dan zikrullah.

Akal melihat dengan hujah dan burhan manakala nafsu melihat dengan kecenderungan dan shahwat. Oleh itu, nafsu perlu dididik supaya sentiasa jinak dan patuh dengan Shari'ah.

Ulasan